Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Subsektor Gudang Darat boleh dibuka dan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing berkemahiran rendah berdasarkan hasil kajian keperluan penggajian pekerja asing dan penentuan agensi kawal selia bagi subsektor itu yang dijalankan oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, persetujuan telah dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing yang diadakan hari ini.

“Mesyuarat bersetuju subsektor ini boleh dibuka dan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing berkemahiran rendah.

“Namun elemen kawalan masih diperlukan bagi mengelak ia menjejaskan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan mengurangkan kebergantungan negara sebanyak 50 peratus kepada pekerja asing.

“Mesyuarat sama turut bersetuju Kementerian Pengangkutan dilantik sebagai agensi kawal selia bagi mengawal selia pengurusan penggajian pekerja asing di subsektor gudang darat dan bersetuju untuk meluluskan permohonan bagi penggajian pekerja asing industri sarang burung walet oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut disertai Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Tambah Hamzah, kerajaan telah meluluskan kertas cadangan daripada Construction Labour Exchange Berhad (CLAB) bagi membolehkan agensi berkenaan menguruskan sepenuhnya kemasukan pekerja asing binaan melebihi 100 orang selaras dengan pematuhan Akta 520 seperti memastikan pekerja mempunyai Kad Personel Binaan CIDB dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP).

Katanya, pengambilan pekerja asing secara jangka pendek dibenarkan bagi pelaksanaan kerja pembinaan infrastruktur dan kerja di Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL).

“Kalau dulu kita tak membenarkan pekerja asing memasuki di kawasan larangan, tetapi pada masa dekat ini ada projek khusus yang mengkehendaki kepakaran pekerja luar bantu kerja pembinaan tetapi dengan SOP yang akan dikeluarkan dan diluluskan oleh KDN kelak untuk projek seperti ini.

“Contoh kawasan larangan yang saya maksudkan adalah angkasa, itu adalah kawasan larangan yang tidak membenarkan pekerja asing mengakses dalam kompleks itu tetapi oleh kerana ada pengkhususan projek penambahan perlu diadakan, maka kita membenarkan mengelak kelewatan projek penambahan bangunan itu nanti.

“Kerajaan juga bersetuju membenarkan pekerja asing digajikan dalam subsektor barang lusuh dan subsektor dobi selain membenarkan pekerja asing dari 15 negara sumber bekerja dalam sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette