KUALA LUMPUR – Tiket Konsert 30 Years of Dewa 19 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 10 September depan habis dijual dalam tempoh sejam hari ini.

Lebih tiga tahun tidak beraksi, peminat band popular Indonesia terpaksa berebut mendapatkan tiket sebaik kaunter tiket secara dalam talian menerusi ticket2u.com.my dibuka jam 11 pagi ini.

Dewa 19 kali terakhir mengadakan konsert di Stadium Malawati, Shah Alam pada 2019, namun tanpa kehadiran Ahmad Dhani.

Hadir dalam rangka Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19, kumpulan yang sudah memulakan sesi jelajah di beberapa kota di Indonesia itu turut menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi bagi meraikan usia tiga dekad penubuhan.

30 Tahun, 30 Kota, 30 Lagu, itu slogan ringkas, namun, cukup padat disampaikan kepada peminat yang tidak sabar menantikan kemunculan Dewa 19 di Malaysia.

Ahmad Dhani berjanji, terdapat banyak rangkaian lagu yang tidak pernah atau jarang dipersembahkan dalam konsert akan dihidangkan khusus buat Baladewa sekalian.

Jika kehadiran Dhani yang menggerakkan Dewa 19 bersama 30 lagu belum cukup menyemarakkan perayaan 30 tahun kumpulan berasal Surabaya itu, Anniversary Tour, 30 Years of Dewa 19 turut menjanjikan bonus tambahan buat peminat.

Kehadiran Dewa 19 ke Malaysia dibawakan oleh Icon Entertainment juga akan disertai beberapa mantan anggotanya termasuk pemain dram, Tyo Nugros.

Tentunya cukup dinantikan apabila buat kali pertama Dewa 19 akan menghimpunkan empat vokalis handalan atas satu pentas.

Bayangkan, bagaimana Ari Lasso melantunkan lagu dengan gaya ikoniknya sebelum posisi vokalis diambil alih oleh Once Mekel, Virzha dan terkini, Ello. – MalaysiaGazette