Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Antigangguan Seksual (RUU AGS) 2021 menyebabkan pertikaman lidah antara ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) ketika membahaskan RUU berkenaan mendakwa ahli Parlimen wanita di Dewan Rakyat banyak kali menerima ganggunan seksual daripada ahli Parlimen lelaki.

“Sepanjang saya dipilih sebagai ahli Parlimen pada 2008 lalu, sudah banyak kali kami nampak ahli-ahli Parlimen yang duduk dalam dewan ini membuat kenyataan seksis.

“Ahli Parlimen yang membuat kenyataan seksis itu merupakan ahli Parlimen yang sama. Saya berani cakap di sini bahawa mereka adalah (Ahli Parlimen) Kinabatangan, Baling dan Pasir Salak.

“Saya nak tahu selepas RUU ini diluluskan adakah kami akan nampak perbezaan berlaku dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Jelas Nie Ching lagi, ahli Parlimen lelaki tidak perlu berselindung di sebalik imuniti di dalam Dewan Rakyat dan perlu bertanggungjawab terhadap perbuatan mereka.

“Kalau ada lagi ahli Parlimen yang buat kenyaan seksis boleh ke kita bawa mereka ke tribunal, atau pun mereka akan terus menikmati imuniti dengan apa yang mereka katakan tidak boleh dibawa keluar daripada dewan,” katanya.

Selepas itu Ram Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bangun dan turut mempersoalkan bagaimana ahli Parlimen wanita yang membuat dakwaan berkenaan dilindungi.

Ram Karpal berkata, situasi ini harus dipersalahkan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun kerana gagal melindungi ahli-ahli Parlimen wanita di dalam Dewan Rakyat.

“Bukankah ini kegagalan speaker untuk menjaga maruah dewan ini, bukan sahaja isu seksis tapi usul Sulu juga,” katanya.

Turut bangun Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang berkata, kenyataan seksis sudah lama tidak dilakukannya di Dewan Rakyat.

“Saya sudah lama tidak bercakap (dakwaan itu), kalau ada ahli Parlimen wanita yang panggil Speaker barua, itu bagaimana?

“Mengeluarkan kata-kata kesat jadi masa itu kami marah dan kita balas balik kepada orang itu,” katanya mencelah.

Ram Karpal  mempersoalkan Azeez samada beliau mengiakan gangguan seksual tersebut.

“Mencarut lagi teruk daripada seksis,” jawab Azeez kemudiannya.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan seroang lagi ahli Parlimen pembangkang, Kasturi Patoo (PH-Batu Kawan).

Situasi tegang selama lima minit itu bagaimanapun berjaya ditenangkan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

“Saya mohon Kulai (Ahli Parlimen) teruskan,” arah Rashid. – MalaysiaGazette