MELAKA – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas dakwaan membunuh ibunya pada awal bulan ini.

Tertuduh, Amirul Hakim Abu, 38, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Rozizah Md Dom, 64, di alamat rumah bernombor 2962, Batu 9 1/2 Kampung Paya Luboh, Tangga Batu di sini antara jam 2.30 petang hingga 3 petang 5 Jun lalu.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada prosiding sama, tertuduh turut didakwa atas tuduhan memberikan dirinya dadah berbahaya, methamphetamine ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, jam 1.35 pagi, 6 Julai lalu.

Tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan itu mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan dikenakan pengawasan polis maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Nor Azizah memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh berdepan pertuduhan kes bunuh yang tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 30 Ogos depan untuk sebutan semula bagi kedua-dua pertuduhan sementara menunggu laporan kimia dan bedah siasat.

Media pada 5 Julai lalu melaporkan seorang ibu tunggal, maut ditikam anak sulungnya berusia 38 tahun dengan dua kesan tikaman pada bahagian leher.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang di rumah mereka di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, suspek ditahan di rumahnya selepas polis mendapat aduan daripada penduduk kampung.

Tambahnya, suspek bertindak demikian menggunakan pisau sepanjang 26 sentimeter selepas terdengar satu bisikan mengatakan ibunya menyembah berhala.

Menurutnya, selepas menikam ibunya, lelaki berkenaan yang mempunyai rekod kesihatan mental dan dua kesalahan dadah sempat menghulurkan pisau berkenaan kepada ibunya yang kemudian bertindak membuang senjata tajam itu melalui tingkap. – MalaysiaGazette.