KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak pernah meluluskan permohonan 200,000 pekerja asing dari Bangladesh.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan yang menafikan perkara itu berkata, kelulusan berkaitan kuota pekerja asing daripada kementerian berkenaan adalah berdasarkan sektor pekerjaan yang dibenarkan.
“Kelulusan kuota tidak berdasarkan kepada kewarganegaraan pekerja asing. Selepas majikan mendapat kelulusan kuota pekerja asing daripada KSM dan setelah membuat pembayaran levi pekerja asing di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) maka majikan boleh menentukan pekerja asing dari negara sumber yang ingin mereka gajikan.
“Justeru itu, maklumat mengenai saya meluluskan 200,000 pekerja asing dari Bangladesh adalah merupakan fakta yang tidak benar,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kapar (Pakatan Harapan) meminta Saravanan menyatakan rasional KSM memproses permohonan ratusan ribu pekerja dari Bangladesh untuk dibawa masuk ke negara ini.
Mengulas lanjut Menteri Sumber Manusia itu berkata, permohonan pekerja asing yang dibuat oleh majikan tidak tertumpu kepada warga negara tertentu sahaja.
Sebaliknya ujar beliau, permohonan berkenaan dibuat berdasarkan kepada pekerja asing daripada 15 negara sumber. -MalaysiaGazette