Seorang pembantu tekong warga Indonesia yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) dijatuhi hukuman 10 tahun penjara oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

JOHOR BAHRU – Seorang pembantu tekong warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan menyeludup Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Hakim Mahkamah Tinggi Arif Puan Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hermanda, 27, dari Indonesia yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) mengaku bersalah atas pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 20 Januari lalu.

Dalam kejadian itu, bot yang membawa 27 PATI dilaporkan karam di Teluk Ramunia mengorbankan lapan orang mangsa dengan dua daripadanya masih hilang.

Seramai 19 orang diselamatkan termasuk tertuduh yang ditangkap selepas siasatan dilakukan terhadap mangsa yang terlibat.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Negeri Johor, Tuan Azlan Bohari.

Pertuduhan dibuat dibawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 kerana kesalahan penyeludupan migran dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana telah bersama-sama menyeludup migran.

Sekiranya disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan dikenakan denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette