Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Isnaraissah Munirah Majilis @ Fakharudy (Warisan- Kota Belud) diusir keluar daripada sidang Dewan Rakyat semalam.

Azhar Azizan berkata, beliau turut sedih dengan tindakan Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang tidak menghormati bentara Dewan Rakyat yang ditugaskan untuk mengiringi Isnaraissah Munirah keluar dewan.

“Saya amat sedih (dengan kejadian semalam), bentara di Dewan ini muda-muda belaka, mereka berdiri di situ semalam lebih 40 minit tanpa dihormati (oleh Ahli-ahli Parlimen pembangkang).

“Tak hormat saya sebagai Speaker tak mengapa, saya boleh ambil kritikan tersebut, itu tugas saya, tapi tolonglah hormat Bentara Dewan Rakyat,” katanya selepas selesai sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Semalam, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mengarahkan Isnaraissah Munirah Majilis keluar dari Dewan Rakyat selepas mempertikaikan keengganan Azhar Azizan untuk membenarkan isu rampasan aset Petronas oleh waris Kesultanan Sulu dibahaskan di Dewan Rakyat.

Usul yang dibawa Isnaraissah telah ditolak untuk kali ketiga.

Terdahulu, Ahli Parlimen daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) itu lantang mempersoalkan pendirian kerajaan Persekutuan terhadap Sabah kerana tidak membenarkan usul berkenaan dibahas.

Disebabkan itu, Isnaraissah dihalang daripada memasuki Dewan Rakyat selama dua hari.

Dalam pada itu, Azhar Azizan berkata, insiden yang berlaku semalam adalah gambaran yang tidak bagus untuk ditunjukkan kepada rakyat.

“Apa signal yang kita tunjuk kepada rakyat semua, saya amat sedih,” katanya lagi.

Bingkas bangun Mohamed Hanipa Maidin (PH-Shah Alam) berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan Azhar Azizan yang enggan menerima usul daripada Isnaraissah.

“Rakyat pun sedih dengan Speaker juga,” celah Mohamed Hanipa.

Bagaimanapun , Azhar Azizan berkata: “(Ahli Parlimen) Sepang (Hanipa Maidin) rakyat bukan tengok saya sahaja, tapi mereka tengok Sepang juga. – MalaysiaGazette