Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu ke atas Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Balai Polis Sentiawangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 19 JULAI 2022

KUALA LUMPUR – Beberapa laporan polis dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung kegagalan dan kecuaian pentadbiran kerajaan yang diterajuinya sehingga membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, laporan tersebut  dibuat beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Balai Polis Setiawangsa, di sini, kira-kira jam 11 pagi.

Dakwanya, tindakan bekas perdana menteri itu menyebabkan harta milik Petronas dan agensi lain di seluruh dunia terdedah tindakan disita, termasuk isu tuntutan waris Sultan Sulu kepada kerajaan.

“Sebagai Perdana Menteri ketika itu, Najib sepatutnya tahu tindakan undang-undang akan dibuat oleh waris Kesultanan Sulu tetapi tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Tuntutan ini bermula susulan keputusan pentadbiran beliau ingin menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu pada 2013.

“Sekiranya beliau tidak cuai dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau dapat memastikan semua langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan setelah bayaran itu dihentikan.

“Keputusan itu telah mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan Malaysia,” katanya pada sidang media, hari ini.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli (tengah) diiringi Ahli Parlimen Sentiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan) keluar dari balai polis selepas membuat laporan polis berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu ke atas Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Balai Polis Sentiawangsa, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 19 JULAI 2022.

Hadir membuat laporan polis ialah Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan bekas Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Dalam pada itu, bekas Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu, dijangka lebih 150 laporan polis akan dibuat setiap cabang PKR atas tindakan kecuaian pentadbiran kerajaan ketika diterajui Najib.

Terdahulu, Najib menerusi hantaran di laman Facebooknya menyatakan, waris Kesultanan Sulu masih belum memulakan saman ke atas Kerajaan Malaysia ketika beliau menjawat jawatan Perdana Menteri.

Sebaliknya, menurut Najib, waris Kesultanan Sulu hanya menyampaikan notis ‘niat awal’ untuk proses timbang tara bertarikh 2 November 2017.

Tambah beliau, waris Kesultanan Sulu hanya memulakan proses menyaman Malaysia selepas kerajaan bertukar daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018. – MalaysiaGazette

Waris Sulu saman Malaysia ketika PH jadi Kerajaan – Najib