Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kanan) Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (kiri) bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Negara 2022 (PKN22) di Hotel Marriott, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Malaysia tetap dengan pendirian untuk tidak berkompromi dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada mengikut telunjuk tuntutan kumpulan Sulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi jaminan itu berkata, kerajaan tidak akan berganjak walau seinci dan akan menyelesaikan perkara itu mengikut perundangan.

“Tindakan sedang dijalankan, sedang diambil. Seperti yang Menteri Undang-undang sebut, kita dah wujudkan pasukan khas untuk lihat perkara ini secara menyeluruh.

“Bukan Petronas sahaja, aset-aset lain di luar negara, banyak lagi GLC, agensi kerajaan yang mempunyai aset lain di luar negara,” katanya.

Beliau berkata selepas majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Negara 2022 dan Sambutan Bulan Keselamatan Keselamatan Negara 2022, di sini, hari ini.

Hadir pada majlis, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadhillah Yusof dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Pada 15 Julai lalu, Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan pasukan khas bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan yang berlunaskan undang-undang bagi menangani isu tuntutan waris Sultan Sulu terhadap kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan mengetuai pasukan khas tersebut dan ia dianggotai Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah; Peguam Negara Idrus Harun dan pakar berkaitan timbang tara antarabangsa.

Pada 13 Julai lalu, waris kesultanan Sulu menuntut dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan bernilai RM62.59 bilion daripada kerajaan Malaysia.

Peguam pihak yang menuntut dilaporkan merampas aset Petronas didaftarkan di Luxembourg, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, menurut Financial Times.

Bagaimanapun pada keesokan hari, Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan kerajaan Malaysia menggantung penguatkuasaan “Final Award” berikutan tuntutan pihak mendakwa sebagai waris dan “successors-in-interest” kepada Sultan Jamalul Kiram II.

Perintah penggantungan itu susulan keputusan dibuat Dr Gonzalo Stampa melalui prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol pada 28 Februari lalu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.