Kanul Gindol

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Sabah dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri itu terkejut dengan pengumuman kerajaan negeri menaikkan gaji 73 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Timbalan Pengerusi 2 Putra Sabah, Kanul Gindol berkata, kenaikan gaji itu turut melibatkan Ketua Menteri, Menteri Kabinet, Speaker, Timbalan Speaker dan Pembantu Menteri.

Kata beliau, lebih memeranjatkan, kenaikan gaji itu diumumkan ketika rakyat Sabah sedang terkesan dengan kos sara hidup dan harga barang yang tinggi.

“Keputusan majoriti mereka ini amat memeranjatkan sebab tiada pun rakyat Sabah yang mengesyorkannya. Ini tiba-tiba sahaja ketika semakin banyak keluarga terkesan kos hidup dan harga barang yang melonjak tinggi.

“Mereka hanya memikirkan untuk menaikkan gaji sendiri sedangkan yang diminta oleh rakyat ialah perbanyakkan peruntukan untuk prasarana, bantuan kecemasan/kilat serta kualiti menyeluruh perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Semalam, Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saran Ketua Menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.

Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50); Menteri RM16,335 (RM22,869); Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).

Kanul yang juga Pengerusi NGO Gindol Initiative for Civil Society Borneo berkata, argumen gaji perlu dinaikkan ketika ini supaya dapat menyalur perkhidmatan dan bantuan lebih tinggi lagi kepada rakyat adalah rekaan mereka sendiri terutama dari kalangan kerajaan sedia ada.

Sementara itu, Presiden NGO Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BoPiMaFo), Daniel John Jambun menyatakan, kerajaan negeri sepatut menambah bantuan khusus kepada rakyat B40.

Kata beliau, rakyat juga berhak menikmati kehidupan yang lebih berkualiti, bukan pemimpin parti dan kerajaan sahaja.

“Dengan menaikkan gaji, konon mereka boleh membantu rakyat dan lebih bersemangat lagi untuk bekerja. Sedangkan, kita mempunyai Menteri-menteri yang gajinya sudahpun melebihi RM50,000 hingga RM80,000 sebulan, belum masuk kenaikan terbaharu ini.

“Mereka sudah dibayar gaji yang tinggi sebelum ini, apakah belum bersemangat lagi? Itu belum masuk lagi pendapatan mereka yang lain, dengan semua keperluan hidup mereka nikmati secara percuma,” katanya.

Beliau meminta pemimpin kerajaan negeri supaya membandingkan pendapatan mereka dengan penoreh getah, nelayan, petani, kakitangan bawahan apalagi Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Apakah golongan marhaen ini menerima kebajikan setiap bulan dari Menteri-menteri dan ADUN-ADUN dengan kenaikan gaji baharu ini?

“Sepatutnya mereka memberi fokus bagaimana rakyat Sabah boleh terus mampu hidup selesa dan selamat dengan pendapatan yang kecil dan terhad, terutama ketika kos hidup semakin melonjak tinggi.

“Mereka juga patut fikirkan kaedah untuk menurunkan kos pengeluaran pertanian dan ternakan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast