Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Kerajaan sudah pun melepaskan stok penimbal ubat-ubat tertentu kepada klinik-klinik swasta mulai hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pelepasan ubat-ubat itu dimulakan dengan paracetamol.

“Sekiranya anda diminta membeli PCM (paracetamol) di klinik-klinik swasta dengan logo KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), ia adalah dari stok penimbal dan ia betul,” katanya.

Minggu lalu, Khairy berkata, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta untuk menangani isu kekurangan bekalan di fasiliti kesihatan berkenaan.

Langkah itu dibuat kerana masih terdapat fasiliti kesihatan swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selesema serta bagi kegunaan kanak-kanak.

“Stok penimbal kerajaan diuruskan oleh Pharmaniaga dan saya sudah mengarahkan semalam supaya ia didahulukan kepada klinik dan hospital swasta yang mempunyai keperluan.

“Langkah ini sementara menunggu pengeluaran lebih stabil dari kilang ubat-ubatan dalam tempoh dua bulan lagi,” kata Khairy.

Sejak dua bulan lalu, beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara. – MalaysiaGazette