KUALA LUMPUR – Seramai 724 kakitangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuat potongan zakat bulanan di Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) setakat Jun 2022 berbanding 563 orang pada 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan potongan zakat kakitangan Perkeso sebanyak RM1.68 juta sehingga Disember 2021.
“Tahniah diucapkan kepada pihak majikan dan semua warga kerja Perkeso kerana telah melaksanakan Rukun Islam ketiga ini.
“Harapan saya dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) ini sedikit sebanyak mampu memberi kesedaran serta meningkatkan kutipan zakat di kalangan majikan mahupun anggota Perkeso,” katanya berucap pada Majlis Menandatangani MoU antara Perkeso dan PPZ-MAIWP di Menara Perkeso, di sini, hari ini.
Abdul Hakim juga berkata, MoU itu bukan sekadar permulaan strategik antara dua organisasi PPZ-MAIWP dan Perkeso tetapi lebih sebagai pendorong untuk meningkatkan kerjasama baik sedia ada pada masa akan datang.
“Saya berkeyakinan dengan penyatuan kepakaran yang dimiliki oleh setiap pihak, mampu memberi pelbagai manfaat kepada masyarakat.
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama dengan pihak berkepentingan termasuklah agensi kerajaan seperti Perkeso,” katanya.
Katanya lagi, sebagai rakan sinergi, kerjasama termasuk perkongsian data, pelaksanaan Program Social Synergy menerusi Portal Sistem MySynergy dapat memberi bantuan tambahan kepada golongan kurang berkemampuan.
“Kesedaran berzakat dalam kalangan majikan dan anggota Perkeso juga akan dilaksanakan bersama-sama agar dapat membantu lebih ramai yang memerlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette