Taufiq (depan tengah) mengambil gambar kenangan bersama pensyarah baharu UMS pada sesi ramah mesra tersebut.

KOTA KINABALU – Seramai 70 pensyarah diraikan dalam Sesi Ramah Mesra Naib Canselor bersama pensyarah baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Galeri Azman Hashim di sini, baru-baru ini.

Sesi yang berlangsung selama dua jam itu menyaksikan Naib Canselor, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkongsi pengalaman, tips dan motivasi kepada para pensyarah untuk berkhidmat dengan cemerlang di universiti.

”Tugas seorang pegawai akademik di universiti boleh diringkaskan kepada 9P iaitu pengajaran, penyeliaan, penyelidikan dan inovasi, penerbitan, serta terlibat dalam persidangan atau pembentangan.

”Selain itu, pegawai akademik juga akan terlibat dalam perundingan, pentadbiran akademik, profesionalisme atau perkhidmatan kepada masyarakat, dan perkhidmatan keterlibatan pelajar,” katanya.

Taufiq berkata, keterlihatan seseorang ahli akademik itu juga penting sama ada di peringkat nasional mahupun global.

”Salah satu kaedah bagi tujuan ini adalah dengan menghasilkan penyelidikan atau penerbitan dalam jurnal yang berimpak tinggi, sekali gus akan menyumbang kepada peningkatan petikan (citation) terhadap kajian saudara dan saudari mengikut bidang masing-masing.

”Semua ahli akademik juga perlu membuat kenalan dan rangkaian kerjasama dengan saintis atau tenaga akademik dari serata dunia,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Taufiq turut memaklumkan bahawa seseorang ahli akademik biasanya berpeluang dilantik ke jawatan pentadbiran tertentu.

”Saya ingin berpesan, sekiranya tuan-tuan dan puan-puan dilantik ke mana-mana jawatan pentadbiran pada masa akan datang, ingatlah bahawa tugas hakiki perlu sentiasa menjadi fokus utama,” ujar beliau. – MalaysiaGazette