Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul membatalkan keputusan Majlis Mesyuarat bertarikh 23 Mac lalu mengenai usul subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung tempoh penahanan selama 28 hari daripada tahanan.

Keputusan itu dicapai apabila 105 Ahli Parlimen menyokong usul tersebut manakala 83 lagi tidak bersetuju setelah undi belah bahagian daripada pembangkang mengambil tempat.

Seramai 32 Ahli Parlimen tidak mengundi kerana tidak berada dalam dewan.

Pengumuman dibuat Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Pada Mac lalu, kerajaan mengemukakan satu usul untuk meneruskan kuasa menahan suspek sehingga 28 hari tanpa perbicaraan di bawah SOSMA telah dibatalkan apabila pindaan itu dikemukakan di Dewan Rakyat. 

Usul itu membuka jalan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengemukakan usul baharu bagi melanjutkan tempoh berkuat kuasa subseksyen 4 (5) SOSMA selama lima tahun lagi.

Tempoh berkuat kuasa akan berakhir pada 31 Julai dan ia mesti diperbaharui setiap lima tahun untuk dikuatkuasakan.

“Jika undi ini lulus, saya boleh membentangkan usul untuk memperbaharui klausa minggu depan,” kata Hamzah sebelum pengundian.

Terdahulu 15 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian membahaskan usul tersebut.

Usul berkenaan akan membantu membendung jenayah dan menjaga keselamatan orang ramai manakala tahanan tidak dapat bertemu mana-mana wakil atau hakim dalam tempoh 28 hari. – MalaysiaGazette