Shahidan Kassim

PUTRAJAYA – Harga ayam di Putrajaya akan diturunkan kepada RM8.50 mulai 1 Ogos depan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, penurunan harga itu membuktikan kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup.

“Saya nak beritahu mulai 1 Ogos, Putrajaya akan menurunkan harga ayam kepada RM8.50, yang termurah!.

“Boleh datang berlumba-lumba ke Putrajaya sebab kita akan buat tempat sembelihan di Presint 20.

“Kita juga akan tanya peniaga-peniaga apa masalah yang dihadapi mereka? Mungkin jika dari segi sewa, kita turunkan kos sewaan itu.

“Kalau masalah mereka berpunca dari segi tempat penyembelihan yang jauh, kita buat pusat sembelihan di sini, tiada masalah” katanya selepas hadir ke majlis Pra-Pelancaran Sambutan Ke-12 ‘Floria Hebat’.

Menurut Shahidan, terdapat gudang-gudang khas yang tidak lagi digunakan untuk dijadikan lokasi pusat sembelihan.

Harga ayam RM8.50 itu bakal digunapakai di seluruh Putrajaya.

Sementara itu, Shahidan menyerahkan keputusan tarikh Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, Perdana Menteri akan menentukan tarikh PRU apabila situasi boleh menjamin kemenangan kepada sebuah kerajaan yang boleh membela rakyat.

Shahidan berkata, sukar untuk melihat kerajaan yang membela rakyat yang cukup luar biasa.

Apabila seluruh dunia tertekan menghadapi inflasi melambung, Malaysia tetap bertahan walaupun di peringkat yang paling rendah, ujarnya.

“Ini adalah satu yang cukup hebat dari kerajaan walaupun pembangkang mempertikaikan Pasukan Jihad Tangani Inflasi”

“Mereka (pembangkang) boleh pertikaikan perkara ini tetapi jawatankuasa ini dah capai banyak benda dan menyelaraskan dengan baik kedudukan harga barangan”

“Tiap-tiap minggu kita pantau harga barang yang membawa kepada satu pencapaian baharu seperti diumumkan oleh pengerusi, Tan Sri Annuar Musa” katanya.

Tambah Shahidan, jika diberikan peluang lagi, beliau akan bertanding.

“Kalau diberikan peluang, saya akan bertanding. Kalau tidak, tiada masalah”

“Kita berserah sahaja. Saya tetap bersedia dengan jentera untuk menghadapi PRU15.” katanya. -MalaysiaGazette