KUALA LUMPUR – Pengasas bersama kelab komedi Crackhouse yang disiasat polis berikutan penyebaran dua klip video yang menghasut dan menghina agama Islam pada minggu lalu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Siber di Jalan Duta esok.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan membuat pertuduhan ke atas individu tersebut di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar rangkaian komunikasi.
Katanya, individu berkenaan dijangka hadir ke mahkamah bersama peguam Ramkarpal Singh.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengasas kelab komedi Crackhouse sudah ditahan polis
Rizal van Geyzel akan direman esok
Pengasas Bersama kelab komedia dibebas petang ini
Lelaki berusia 39 tahun itu pernah direman sehari pada 15 Julai lalu untuk dirakam keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut dan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Pada minggu lalu, Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) bersama lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis terhadap lelaki terbabit dan kelab komedinya atas dakwaan menghina agama Islam dan orang Melayu dalam persembahannya.
Selain PPSM, satu lai NGO iaitu Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Islam Pulau Pinang (GNIPP) turut tampil membuat satu laporan polis terhadap pengasas bersama Kelab Komedi Crackhouse itu. – MalaysiaGazette