KUALA LUMPUR – Kerajaan menyediakan peruntukan besar sebanyak RM393 bilion untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim dengan tempoh pelaksanaan secara berfasa selama 50 tahun.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM15 bilion diperuntukkan untuk pelaksanaan projek tebatan banjir mulai tahun 2023 sehingga 2030, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Saya juga telah mengarahkan kementerian dan agensi terbabit meningkatkan penggunaan sumber air bawah tanah dan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap air terawat termasuk bagi kegunaan di kawasan pedalaman, pengairan tanaman serta sistem kumbahan.
“Penggunaan sumber air alternatif yang murah dan mudah didapati ini perlu diambil kira dalam pembangunan infrastruktur serta bangunan baru sepertimana yang telah dilaksanakan di kebanyakan negara bagi menjimatkan kos penggunaan air terawat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum itu, Ismail Sabri telah mempengerusikan Mesyuarat Keempat Majlis Air Negara di sini hari ini.
Menurut beliau, penggunaan air bawah tanah di Malaysia ketika ini dilaporkan kurang daripada tiga peratus berbanding dengan negara lain walaupun negara mempunyai sumber air bawah tanah berkapasiti 5,000 bilion meter padu.
Justeru, katanya, kerajaan juga bercadang untuk membina lebih banyak ‘struktur sabo’ di seluruh negara dalam usaha untuk mengurangkan risiko banjir puing seperti mana yang berlaku di Baling, Kedah baru-baru ini.
Struktur sabo dibina merentasi alur sungai, berfungsi menahan puing termasuk bongkah batuan, lumpur dan kayu-kayan, sekali gus memperlahankan aliran air serta mengurangkan impak yang dibawa arus deras terutamanya selepas hujan lebat.
Setakat ini struktur sabo sedang dibina di Yan, Kedah dan bakal dibina di Baling serta Janda Baik, Pahang dalam tempoh terdekat.
Mesyuarat pada hari ini juga telah mempertimbang dan bersetuju dengan tiga kertas pertimbangan iaitu Transformasi Sektor Air 2040 (Water Sector Transformation 2040 – WST 2040), Pengiktirafan Perkhidmatan Makmal Kualiti Air, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sebagai Makmal Forensik Penyelidikan Air dan Perkongsian Peta Hazard Banjir kepada awam.- MalaysiaGazette