KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur (KL) City FC gagal melunaskan dendam kekalahan 0-1 kepada jiran mereka, Selangor FC dalam Piala FA, awal bulan ini, selepas diikat 1-1 pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hari ini.
Pasukan ‘Gergasi Merah’ yang jelas mendominasi babak pertama membuka tirai jaringan selepas sepakan voli ketua pasukan, Brendan Gan, terbias di kaki pemain pertahanan lawan, Muhammad Irfan Zakaria, sebelum bola menerjah jaring pelawat pada minit ke-36.
Aksi di separuh masa kedua pula menyaksikan Selangor FC ‘tempang’ dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan kanan, Ahmad Zikri Mohd Khalili menerima layangan kad kuning kedua akibat tindakannya menarik Muhammad Fakrul pada minit ke-56.
KL City sepatutnya menyamakan kedudukan namun sepakan penalti pemain Colombia, Romel Morales ditepis keluar Samuel Jacob Somerville pada minit ke-65, selepas Sharul Nazeem menarik penyerang import lawan, Jordan Mintah.
Morales kemudian menebus kekecewaannya apabila menanduk masuk lambungan cantik Muhammad Irfan untuk menyamakan kedudukan buat juara bertahan Piala Malaysia pada minit ke-68.
Skuad kendalian Bojan Hodak yang terus menekan Selangor sebaliknya gagal menterjemahkan beberapa peluang terhidang ke dalam bentuk jaringan, dengan percubaan terbaik mereka hadir pada minit ke-85 oleh pemain gantian, Muhammad Haqimi Azim Rosli
Namun ledakan padunya diselamatkan Somerville dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan Selangor menghuni tangga kelima dengan mengumpul 16 mata manakala KL City di tangga ketujuh dengan 15 mata.
Sementara itu, penyerang import kelahiran Sepanyol, Fernando Rodriguez muncul wira Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-69 untuk mengukuhkan cengkaman di puncak liga selepas menewaskan Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya, Georgetown.
Dalam pada itu, Melaka United FC gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri selepas terikat 2-2 dengan Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Melaka.
Melaka berada di depan menerusi jaringan Emmanuel Oti pada minit ke-36 namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila penyerang kebangsaan Daren Lok menyamakan kedudukan, dua minit sebelum separuh masa pertama tamat.
Bersambung babak kedua, K Gurusamy meletakkan pelawat di depan pada minit ke-64 sebelum ketua pasukan, Sony Norde menyelamatkan Melaka menerusi gol kedua pasukannya pada minit ke-76, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Melaka United kini menduduki tangga kelapan dengan 13 mata manakala PJ City di tempat kesembilan dengan 11 mata. – Bernama