KUALA LUMPUR – Permohonan Queen’s Counsel (QC) atau peguam kanan United Kingdom (UK), Jonathan Laidlaw mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. ditolak.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid yang memutuskan untuk menolak permohonan itu kerana tidak ada sebarang keperluan untuk bekas Perdana Menteri untuk diwakilinya dalam kes rayuan akhir itu.
Katanya, peguam itu juga tidak mempunyai kelayakan serta pengalaman bagi mengendalikan rayuan Najib itu.
Sebaliknya, kata hakim melalui keputusan atas talian itu, kes SRC mampu dikendalikan oleh peguam di negara ini.
Untuk makluman, Laidlaw pada Mei lepas telah memohon untuk diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.
Permohonan itu mendapat sokongan peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan alasan Laidlaw mempunyai kepakaran yang tidak ada dalam kalangan peguam di negara ini.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada awal tahun ini telah memohon supaya dirinya dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari UK.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan kesalahan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah.
Juga tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta daripada SRC. – MalaysiaGazette