KUALA LUMPUR – Beberapa menteri dan Ahli Parlimen hari ini menghadiri sesi taklimat mengenai tuntutan waris kesultanan Sulu ke atas kerajaan di sebuah hotel, di sini.

Mereka yang menghadiri taklimat tersebut tidak dibenarkan membawa masuk telefon bimbit dan diminta meninggalkannya di lobi dewan sebelum memasuki dewan taklimat

Barisan menteri mula tiba di hotel tersebut pada jam 8.10 malam, antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain itu Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching (Kulai), Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Beluid), Datuk Seri Shafie Apdal (Semporna) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) turut berada di hotel tersebut.

Pada persidangan Dewan Rakyat hari ini, Nie Ching berkata, satu sesi taklimat tertutup kepada Ahli Parlimen akan diadakan pada malam ini berhubung isu tuntutan daripada pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dan ia akan disampaikan Wan Junaidi.

Tambah beliau, pada taklimat tertutup itu tiga menteri akan memberi penjelasan dan selepas itu sesi soal jawab akan diadakan.

Pada Isnin lalu, persidangan Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati mengenai usul berhubung tuntutan waris Sultan Sulu ke atas Sabah ditolak sebanyak tiga kali oleh Yang Dipertua, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

Azhar menjelaskan, beliau menolak usul berkenaan kerana ia bersifat subjudis dan semalam, beliau berkata, perbahasan usul itu boleh mendedahkan strategi pasukan perundangan kerajaan kepada pihak musuh.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah, Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Sim Tze Zin (Bayan Baru), Teresa Kok (Seputeh) dan Hannah Yeoh (Segambut) kelihatan memasuki hotel itu.

Pintu dewan taklimat ditutup pada jam 9.13 malam.

Bagaimanapun Mustapa dilihat meninggalkan hotel itu pada jam 9.30 malam, kira-kira 90 minit selepas ketibaan Ahli Parlimen

– Berita lanjut menyusul

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast