Gambar hiasan. foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2020.

SIBU – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di hulu sungai Kampung Seberang, Maludam, kira-kira 185km ke selatan dari sini ditemukan mati dengan kesan dipercayai gigitan buaya.

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata mangsa, Abang Mohd Norazat Abang Salim, 27, ditemukan terapung di hulu sungai berdekatan Loji Air Maludam oleh bapanya bersama tiga penduduk kampung yang meneruskan pencarian pada 2 pagi tadi.

“Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dengan terdapat kesan gigitan buaya di muka manakala kedua-dua kaki dan tangan mangsa juga sudah tiada, kemudiannya dibawa menggunakan bot sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan pusat berkenaan hari ini.

Abang Mohd Norazat dipercayai keluar memancing ikan seorang diri dengan berjalan kaki kira-kira 3 petang Selasa lepas dan laporan polis dibuat oleh ahli keluarganya selepas mangsa tidak pulang hingga semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Saratok yang melaksanakan operasi mencari dan menyelamat semalam mengesan kehadiran seekor buaya tidak jauh dari tempat peralatan memancing mangsa ditemukan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast