Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan pemeriksaan dan pemantaunan dalam Operasi Khas Lebihan Muatan di sekitar Pahang.

KUANTAN –  Jabatan pengangkutan Jalan (JPJ) menahan sembilan buah kenderaan yang lebih muatan dalam Operasi Khas Lebih Muatan di empat lokasi berbeza di Pahang semalam.

Menurut kenyataan JPJ Pahang, ia bertindak menerusi aduan yang diterima dan notis Panggilan Temusiasat (Notis114) telah dikeluarkan kepada pemilik syarikat terbabit.

“JPJ Pahang banyak menerima aduan berkaitan isu kenderaan barangan yang membawa lebih muatan.

“Operasi khas lebih muatan terhadap syarikat-syarikat lori yang beroperasi di sekitar Kampung Guai, Bandar Triang, Jalan Bera-Muadzam Shah dan Jalan Kuantan-Segamat.

“Pihak JPJ turut menjalankan advokasi supaya pihak syarikat dapat menghalang pemandu-pemandu syarikat membawa lebih muatan dan membawa muatan secara bahaya,” kata kenyataan itu.

Dua buah kenderaan yang ditahan membawa muatan pasir dan kelapa sawit dikenakan tindakan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana membawa muatan melebihi 35% daripada Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan.

Kes berkenaan akan dirujuk ke Mahkamah Majistret dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM500,000.

Manakala dua buah lagi kenderaan yang membawa biji besi dan batu kasaran dikenakan tindakan ingkar notis arah timbang di bawah Sesyen 63(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan jika didapati bersalah, pemandu boleh didenda sehingga RM10,000.

Selain itu tiga buah lagi yang membawa muatan kelapa sawit dan kayu balak, masing-masing dikenakan tindakan membawa lebih muatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang awam boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast