Vaksin flu boleh didapati di klinik dan hospital seluruh negara. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Negara tidak mengalami kekurangan vaksin flu dan ia boleh didapati di banyak klinik dan hospital di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life, Prof. Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, vaksin flu (influenza) di Malaysia dibekalkan oleh banyak syarikat dan ketidakupayaan sesebuah syarikat tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Lantaran itu, katanya, laporan beberapa media yang mendakwa suntikan flu hanya tersedia pada tahun 2024 adalah tidak benar.

”Kes flu semakin meningkat di seluruh negara sejak kebelakangan ini. Sebagai pakar penjagaan kesihatan, kami menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan flu tahunan mereka, terutamanya wanita hamil, kanak-kanak kecil, orang yang mempunyai masalah kesihatan kronik dan warga emas,” katanya.

Ini kerana, kumpulan berisiko tinggi ini terdedah kepada flu teruk yang boleh mengakibatkan sindrom gangguan pernafasan akut, radang paru-paru, kegagalan pelbagai organ dan juga kematian.

Selain menekankan vaksinasi flu, jawatankuasa teknikal ini juga menggesa orang ramai untuk terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka di kawasan tertutup, kerap mencuci tangan dengan sabun dan air, dan penjarakan fizikal.

SOP ini membantu mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 dan flu. – MalaysiaGazette