PETALING JAYA – Golongan wanita berusia 50 tahun ke atas perlu memiliki kesedaran terhadap masalah menopaus kerana ia bukan isu biasa yang boleh dibincangkan secara terbuka ekoran stigma masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG), Dr Premitha Damodaran berkata, perkara itu penting kerana jika tidak ia akan menyukarkan golongan wanita memasuki fasa baharu dalam kehidupan serta untuk mendapatkan bantuan.
“Dengan purata usia menopaus dalam negara sekitar 50 tahun, kami melihat golongan wanita akan menghabiskan satu pertiga daripada kehidupan mereka tanpa hormon estrogen sekaligus, mengurangkan tahap kesuburan.
“Kebimbangan ini tidak hanya berkaitan masalah kesuburan, bahkan mereka berisiko mengalami pelbagai masalah kesihatan dari segi fizikal, sosial, psikologi, seksual dan mental.” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Garis Panduan Amalan Klinikal Pengurusan Menopaus, di sini, hari ini.
Premitha berkata, wanita yang mengalami menopaus lazimnya berisiko tinggi mengalami penyakit jantung koronari, osteoporosis, kanser dan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras kolesterol tinggi.
Ujarnya, ia juga turut akan memberi cabaran kepada mereka untuk menjalani kehidupan mendatang.
Malah jelasnya, masalah sosioekonomi dan keluarga berkemungkinan boleh berlaku dan pada masa sama persaraan turut memberi kesan terhadap kewangan serta perubahan fokus peranan dalam menjaga ibu bapa yang berusia apabila anak mereka sudah dewasa.
Semua itu katanya, turut memberi kesan terhadap perubahan hormon wanita.
“Uniknya, garis panduan amalan klinikal ini dihasilkan dengan pendekatan wanita berbilang etnik di Malaysia.
Walaupun kami menerima pakai garis panduan daripada beberapa organisasi antarabangsa, kami mempertimbangkan aspek agama kerana memahami peranan yang dimainkan oleh agama dalam masyarakat kita.
“Setiap wanita yang mengalami menopaus juga tidak seharusnya berasa malu atau keberatan untuk mendapatkan bantuan daripada kakitangan perubatan profesional,” tambahnya.
Sementara itu Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin melahirkan rasa bangga dengan usaha yang diambil dalam mewujudkan garis panduan amalan klinikal bagi pengurusan menopaus di Malaysia.
“Ia sememangnya satu pencapaian yang bersejarah dalam lanskap kesihatan Malaysia. Sebagai salah satu perintis dalam pengurusan garis panduan menopaus di Asia Tenggara, Malaysia membuktikan komitmennya untuk meningkatkan sistem penjagaan kesihatan.
“Di pihak kementerian, kami berhasrat untuk menyokong inisiatif ini dengan memacu usaha meningkatkan kesedaran mengenai menopaus,” katanya.
Menurut Khairy lagi, menopaus bukan satu isu jelek atau bahan jenaka, sebaliknya, orang ramai perlu digalakkan untuk bercakap mengenai perkara itu dengan lebih terbuka.
Ujarnya, orang ramai perlu faham faham bahawa golongan wanita akan terus memainkan peranan utama dalam masyarakat tanpa mengira usia.
“Oleh itu, kita mesti memberi sokongan yang mereka perlukan sebagai sebahagian daripada inisiatif Keluarga Malaysia untuk mewujudkan Malaysia yang lebih berkepelbagaian dan keterangkuman,” tambahnya.
Terdahulu, Khairy melancarkan garis panduan amalan klinikal mengenai pengurusan menopaus yang dihadirinya secara maya di sebuah hotel di sini hari ini. – MalaysiaGazette