Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud . Foto MUHD NA'IM, 09 MEI 2022.

BAGAN SERAI – Jabatan Imigresen menahan 60 pendatang tanpa izin dan merampas lima laras senapang angin serta peluru bebola besi dalam satu operasi penguatkuasaan di Perkampungan Nelayan Kuala Gula, tengah malam tadi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam diterima mengenai kegiatan pendatang tanpa izin yang menjalankan tangkapan ikan di persisiran pantai sehingga menjejaskan nelayan tempatan.

“Berdasarkan aduan itu kami telah menjalankan risikan, pemerhatian dan membuat penyamaran serta menggunakan dron untuk mengambil gambar di kawasan sukar ditembusi,” katanya pada sidang media operasi berkenaan, malam tadi.

Operasi pada 11.30 malam itu membabitkan 90 anggota dan pegawai Imigresen Putrajaya dan Perak.

Beliau berkata, pihaknya menyerbu 15 premis diduduki 63 warga asing dan menahan 60 orang terdiri daripada 48 lelaki dan 11 wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun tanpa dokumen pengenalan yang sah.

“Daripada jumlah itu 37 orang adalah warganegara Myanmar dan 23 warganegara Indonesia berumur 25 hingga 50 tahun,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata 20 lagi pendatang asing berjaya meloloskan diri dengan menaiki dua bot berada kira-kira 400 meter dari perkampungan itu, di samping ada yang terjun ke laut untuk mengelak daripada ditahan.

Beliau berkata pendatang tanpa izin berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui jalan laut dan diambil bekerja sebagai nelayan serta pekerja kilang proses belacan di sini.

“Kesemua mereka dibawa ke Depot Jabatan Imigresen di Langkap untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, kesemua pendatang tanpa izin itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) (c)Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa dokumen sah dan siasatan ke atas majikan mengikut Seksyen 56 (1) akta sama. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast