SEPANG – Jaguh berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, bersedia menggalas tanggungjawab untuk membawa pulang pingat dari Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bakal membuka tirai Khamis ini.
Pelumba berusia 25 tahun itu berkata segala latihan yang dijalani sebelum ini berjalan lancar dan kini hanya menunggu masa untuk mempersembahkan hasil persiapan dalam empat acara yang dipertandingkan kelak.
Atlet kelahiran Muar itu, turut memaklumkan tidak mahu tertekan dengan sandaran utama meraih pingat selain mahu menikmati kayuhannya di temasya berprestij itu.
“Dari segi persediaan sudah 90 peratus, tapi Insya-Allah saya yakin pada hari perlumbaan nanti dah seratus peratus bersedia. Semestinya ada rasa tekanan tapi saya anggap perkara itu tanggungjawab saya, tekanan itu bagi saya perangsang untuk buat yang terbaik.
“Saya dah banyak pengalaman sebelum ini bila saya terlalu tekanan, saya tak boleh nak buat terbaik. Jadi saya nak menikmati pertandingan kali ini,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Birmingham hari ini.
Shah Firdaus berkata pengalamannya sebelum ini yang pernah beraksi di trek yang sama di Birmingham, bakal membantunya untuk menghadapi cabaran berdepan pesaing-pesaing terkemuka.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan skuad berbasikal negara bakal mengadakan latihan secara berkala sebagai pemanas badan sebelum tarikh kejohanan berbasikal bermula.
Shah Firdaus bakal membawa cabaran negara untuk beraksi dalam acara 100 meter (m) ujian masa, keirin, pecut dan pecut berpasukan.
Sementara itu, atlet berbasikal muda negara Muhammad Ridwan Sahrom yang pertama kali menyertai Sukan Komanwel, berkata meskipun bakal berdepan dengan cabaran sukar dari negara lain beliau tidak menjadikan perkara itu alasan baginya untuk membuktikan kebolehannya di temasya dwi tahunan itu.
“Persediaan dalam keadaan baik, kami terbang ke sana untuk menang, saya punya sasaran nak buat terbaik sebab kita tahu negara seperti England, Scotland, Australia merupakan negara kuat dan memberi saingan sengit untuk saya,” katanya yang juga adik kepada Shah Firdaus.
Skuad berbasikal negara berlepas ke Birmingham pada 9.50 pagi bersama jurulatih kebangsaan John Beasly.
Selain Shah Firdaus dan Muhammad Ridwan, atlet lain yang membawa cabaran negara ke temasya sukan itu adalah Muhammad Fadhil Mohd Zonis sementara pelumba wanita adalah Anis Amira Rosidi, Nurul Aliana Syafika Azizan dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri. – Bernama