Anggota bomba memantau kerja-kerja membawa keluar kereta Allahyarham Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain dari Sungai Api-Api.

KUANTAN – Seorang pemuda yang dilaporkan hilang hampir setahun lalu dijumpai di dalam kenderaan yang terjunam ke sebuah sungai berdekatan Jalan Nenasi-Pekan, Pekan pada jam 12.16 tengah hari.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, bomba menggunakan dua jentolak untuk menaikkan kereta mangsa daripada sungai.

Tambah beliau, pihaknya menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa daripada keretanya.

“Mayat mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain dipercayai terbabas ke dalam sungai berkenaan semasa dalam perjalanan dari rumah di Pasir Gudang, Johor ke tempat kerja di Kemaman, Terengganu.

Dalam kejadian 29 Oktober 2021 itu, Muhammad Iman yang memulakan perjalanan sekitar jam 1.30 pagi dilaporkan tidak hadir di tempat kerja sehingga keluarganya dimaklumkan oleh rakan sekerja. -MalaysiaGazette