Ibrahim Ali

KUALA KRAI – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) meramalkan berlaku pertandingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini dengan kemunculan satu lagi gagasan baharu diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Presiden Putra, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, Penasihat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu telah mengumumkan penubuhan blok keempat sebagai gagasan baharu memperjuangkan agenda Melayu dan Islam.

“Ertinya PRU-15 ini akan menyaksikan pertandingan empat blok iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan gagasan baharu yang belum dinamakan.

“Keputusannya nanti, tidak akan ada mana-mana blok atau parti yang menang secara dominan atau mendapat kemenangan separuh dari jumlah 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

“Dengan kata lain, tidak akan ada parti menang 113 kerusi iaitu majoriti mudah,” katanya dalam Ceramah Perdana – Tsunami Politik Kebangkitan Rakyat Kelantan di Kampung Lepan Pauh, Kuala Nal, dekat sini, malam tadi.

Justeru, mantan Ahli Parlimen Pasir Mas itu menyeru pengundi terutama anak muda supaya berhati-hati dan cermat memilih parti serta calon yang bertanding.

Katanya, mereka wajar menolak apa saja sentimen, selain mesti membuat pilihan tepat supaya umat Melayu Islam tidak hilang bumi dipijak dan negara tidak diterajui oleh calon atau parti yang terpalit dengan pelbagai masalah.

“Mereka ini akan menyebabkan Malaysia yang dulu menjadi negara Islam contoh, harimau ekonomi Asia dan tersohor di persada dunia, akan semakin menjunam dan tidak lagi akan kembali ke landasan yang betul.

“Negara akan pulih apabila rakyat menentukan hanya yang bersih bermoral dan berintegriti akan disokong serta menang PRU15 ini. Kemenangan ini menjamin kelangsung hidup rakyat lebih sejahtera dan negara kembali dihormati dunia,” katanya.

Mengenai tarikh PRU15, Dr. Ibrahim menjangkakan diadakan pada November ini bagi memenuhi desakan kepimpinan UMNO kerana Disember adalah bulan akhir parti itu mesti mengadakan pemilihan.

Ujar beliau, UMNO terpaksa mengadakan pemilihan parti sebelum PRU kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) belum meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti itu yang mahu pemilihan diadakan enam bulan selepas PRU.

Katanya, jika RoS meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan UMNO bermakna ianya merupakan precedent dan perlu juga bersikap adil kepada permohonan parti lain bagi mengelak dituduh jabatan double standard.

Bagaimanapun, jelas beliau, jika perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebelum Disember ini, ia bererti memenuhi kehendak kepimpinan UMNO.

“Sebenarnya PRU ini beri kelebihan kepada pembangkang di luar PN dan BN kerana pelbagai isu termasuk rasuah akan menjadi modal besar kepada mereka. Apatah lagi calon kluster mahkamah turut bertanding. Ini bonus.

“Tambahan pula pasti akan berlaku perebutan menjadi calon kerana dalam UMNO umum tahu ada tiga kumpulan warlord yang mempunyai pendirian berbeda,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast