Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wee Ka Siong membidas Pengerusi DAP apabila Lim Guan Eng mendakwa Menteri Pengangkutan tidak dapat melihat perbezaan besar antara kemalangan maut oleh mat rempit yang berlumba secara haram di lebuh raya dan kematian yang disebabkan oleh pemanduan dalam keadaan mabuk.

Menjawab kenyataan itu, Menteri Pengangkutan itu berkata, Guan Eng sebenarnya tidak mengambil serius dan tidak meneliti Akta 333 (Pindaan 2020) yang telah pun diluluskan dan diwartakan.

Menurut Ka Siong, di bawah pindaan Seksyen 41 menyebabkan kematian kerana memandu melulu, bagi kesalahan pertama pesalah boleh dikenakan penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 – RM50,000 dan hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.

Manakala bagi kesalahan seterusnya, penjara 10-15 tahun dan denda RM50,000-RM100,000 serta hilang kelayakan lesen 10 tahun.

Sementara di bawah pindaan Seksyen 42, memandu secara melulu dan membahayakan, pesalah pertama pindaan bagi meningkatkan hukuman hilang kelayakan lesen dari sehingga dua tahun kepada sehingga lima tahun manakala kesalahan seterusnya penjara tidak lebih 10 tahun dan denda RM10,000 – RM20,000, juga hilang kelayakan lesen 10 tahun.

Jelas Ka Siong, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang dipinda pada tahun 2020 dibuat semasa beliau memikul tanggungjawab sebagai Menteri Pengangkutan dan memberikan tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu, pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara berbahaya atau melulu.

”Malangnya, Guan Eng boleh pula kata kita tiada keinginan politik (political will) dalam menangani isu pemanduan secara berbahaya atau melulu seperti yang dilakukan ‘mat rempit’ menerusi kegiatan lumba haram dan seumpamanya yang jelas menyalahi undang-undang,” tempelaknya.

Ka Siong menegaskan,  beliau segera meminda Akta 333 bagi meningkatkan hukuman kepada pesalah-pesalah jalan raya demi memastikan jalan raya selamat digunakan oleh sesiapa sahaja sebaik sahaja dilantik Menteri Pengangkutan.

Peningkatan hukuman itu bukan sahaja melibatkan pemandu mabuk, tetapi juga mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah, memandu secara berbahaya, tidak cermat dan melulu.

”Bukan sahaja meningkatkan hukuman, tetapi Kementerian Pengangkutan (MOT) bersama agensi-agensi di bawahnya turut memperhebatkan kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dan memberi advokasi kepada orang ramai.

”Malah, operasi-operasi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang termasuk kegiatan lumba haram di jalan raya (pemanduan secara berbahaya, melulu) turut dilaksana dan ditingkatkan bersama agensi-agensi lain secara bersepadu.

”Dalam masa sama, MOT juga menubuhkan pasukan petugas khas yang memberi fokus terhadap kemalangan membabitkan pengguna motosikal termasuk melaksanakan kajian bagi mengenal pasti dan mengemukakan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu ini untuk tempoh masa panjang.

”Antara aspek yang akan diteliti termasuklah aspek peraturan, komponen teknikal kenderaan dan aktiviti advokasi yang lebih berkesan. Perincian mengenainya akan diumumkan kelak,” ujarnya.

Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata,  pihak berkuasa sewajarnya mengambil tindakan lebih tegas terhadap budaya mat rempit dan lumba haram yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

Katanya, kemalangan maut yang berpunca atau membabitkan mat rempit lebih banyak berbanding kematian akibat memandu dalam keadaan mabuk.

Bagaimanapun, dakwa beliau, pihak berkuasa nampaknya bertindak lebih tegas terhadap kes memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah.  – MalaysiaGazette