Ravichandran mengibarkan Jalur Gemilang ketika sampai di puncak Gunung K2 yang terletak di Pakistan. Gambar ihsan: T. Ravichandran

KUALA LUMPUR – Pendaki solo orang kelainan upaya (OKU), T. Ravichandran menjadi pendaki pertama Malaysia menawan Gunung K2 yang merupakan gunung kedua tertinggi di dunia.

Beliau berjaya menamatkan pendakian pada ketinggian 8,611 meter bersama lima pendaki solo terhebat dunia sekali gus menjadi hadiah kemerdekaan untuk rakyat Malaysia.

“Saya berjaya kibarkan Jalur Gemilang di puncak K2, tanda semangat kemerdekaan yang seharusnya rakyat Malaysia tidak lupakan pada 31 Ogos depan.

“Semangat cintakan negara, hidup dalam aman dan harmoni, itu kunci perpaduan yang patut disemai dalam jiwa di mana ia menjadi kekuatan untuk saya harungi kesukaran sepanjang pendakian.

“Terima kasih kepada isteri saya yang tercinta, anda adalah kekuatan untuk saya berjaya. Tidak lupa kepada keluarga, rakan-rakan, penaja-penaja dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya sampai ke puncak,” katanya menerusi pesanan yang ditularkan di aplikasi Whatsapp hari ini.

Ravichandran berkata, beliau bangga kerana dapat mengharumkan nama negara dengan mendaki gunung tersebut meskipun dalam keadaan dirinya serba kekurangan.

Katanya, menjadi seorang OKU tidak memperlihatkan dirinya sebagai seorang yang lemah, sebaliknya, usaha perlu dibuktikan bagi menunjukan beliau juga mampu berjaya dengan membina kekuatan diri, setanding mereka yang sempurna.

“Tiada yang mustahil untuk bangkit kembali jika kita terjatuh. Itu pengalaman pendakian yang saya tempuh dalam ekspedisi kali ini.

“Ini hadiah saya buat rakyat Malaysia. Merdeka!,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast