Mohd Zawawi Ahmad Mughni

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2022 petang ini.

Pindaan itu bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menjalankan prosiding kes menerusi teknologi komunikasi jarak jauh sekiranya berlaku bencana seperti pandemik Covid-19.

Menurut Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, pindaan itu juga sebagai persediaan kerajaan negeri menjalankan prosiding tanpa perlu ditangguhkan sebagaimana berlaku sepanjang pandemik Covid-19.

“Kita tidak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang, mungkin wabak Covid muncul lagi. Dengan adanya enakmen pindaan ini membolehkan prosiding kes di Mahkamah Syariah diteruskan.

“Pelaksanaan enakmen ini tidak mencakupi pandemik Covid sahaja, bencana lain yang menghalang kes daripada diadakan secara fizikal juga turut terkait,” katanya pada sidang DUN Selangor di sini, petang ini.

Kata Mohd Zawawi, RUU itu telah dipersembah dan diperkenan Sultan Selangor pada 7 April lalu selaras dengan subseksyen 22(5) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003.

Katanya, baginda bersetuju dan berkenan RUU itu dibentang dalam sidang DUN hari ini. – MalaysiaGazette