Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR – Tiada kontraktor sanggup membina Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pada harga RM56,000 sebuah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berikutan itu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang mengkaji untuk menentukan peruntukan baharu bagi PPRT.

“Tidak boleh (membina) dengan harga RM56,000 untuk sebuah PPRT yang sekarang memerlukan lebih kurang RM67,000 kalau untuk pelaksanaan.

“Tidak ada kontraktor sanggup bina masa ini (dengan harga RM56,000). Kita KPLB sedang bincangkan buat garis panduan baru untuk dibawa ke Kabinet,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang ingin tahu sama ada KPLB bercadang menambah peruntukan untuk membina unit PPRT tahun depan.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, harga untuk membina unit PPRT ditetapkan pada RM56,000 seunit tidak mencukupi kerana kos sebenar adalah sekitar RM67,000 seunit.

Ketika bertanyakan soalan, Salim menyatakan kebimbangannya mengenai kos pembinaan rumah PPRT yang sudah sudah menjangkau hampir RM70,000.

Abdul Rahman memberitahu, pada tahun ini, kementeriannya memperuntukkan RM361 juta untuk PPRT di seluruh negara.

“Sebanyak RM178 juta untuk membina 2,503 buah rumah baharu dan RM182 juta bagi tujuan membaikpulih 11,353 buah rumah.

“Kebimbangan saya adalah mengenai keupayaan kontraktor kecil luar bandar untuk menyiapkan rumah pada harga tersebut.

“Kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap isu ini dengan mengambil kira kos bahan binaan semasa supaya rumah yang disiapkan akan kekal berkualiti dan selamat untuk diduduki,” katanya. – MalaysiaGazette