KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan dakwaan tidak bertindak berhubung kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang didakwa tidak lagi relevan berikutan peningkatan harga barangan mentah di pasaran.
Pada masa ini kadar RMT adalah RM2.50 bagi murid di Semenanjung dan RM3 di Sabah dan Sarawak.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya sedang melengkapkan kertas perbincangan yang kini berada di peringkat akhir untuk dibawa kepada Kabinet.
“Siapa yang kata kita tak ambil tahu tentang RMT itu, sebenarnya KPM sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan (MOF) untuk pastikan semua perkara diambil kira sebelum sebarang pertimbangan dibuat dan kertas juga kini di peringkat akhir untuk dibawa ke Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir dalam Program Eksplorasi Alam Lestari di Zoo Negara, di sini, hari ini.
Jelasnya, KPM sentiasa cakna dalam isu membabitkan perkembangan murid-murid sekolah apabila hampir RM185 juta disalurkan dalam RMT tahun ini khususnya untuk peruntukan susu putih berbanding hanya RM10 juta pada tahun lalu.
“Banyak penambahbaikan kita seperti menambah jumlah hari untuk membekalkan susu kepada murid-murid. Jika sebelum ini hanya RM10 juta untuk dua kali seminggu, tapi mulai tahun ini kita laksanakan susu dalam RMT ini lima hari seminggu dengan peruntukan hampir RM185 juta.
“Malah, jika sebelum ini diberi susu berperisa, kini mulai tahun lepas kita tetapkan bahawa susu yang diberikan dalam RMT ini perlu susu putih biasa kerana susu berperisa mempunyai gula yang tinggi dan bahan pengawet,” ujarnya.
Tambahnya, kementeriannya juga sedang berbincang dengan MOF untuk memastikan peruntukan RMT mencukupi termasuk disenaraikan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentang nanti.
Artikel berkaitan: KKM syor kadar RMT dinaikkan
Pengusaha kantin hanya untung 10 sen setiap hidangan RMT
Sehubungan itu, Radzi berharap agar semua pihak bersabar dalam isu berkenaan kerana setiap penambahan peruntukan memerlukan penelitian dari segi implikasi kewangan negara.
“Kita perlu ingat semua perkara ini memerlukan sedikit masa kerana ianya melibatkan implikasi yang besar. Contohnya elaun warden asrama sebelum ini tidak pernah dinaikkan selama 25 tahun, tapi kita bekerja keras untuk isu ini dan akhirnya ada kenaikan 25 peratus,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai isu kuarters guru yang terbiar, Radzi memaklumkan langkah bagi menangani masalah tersebut masih dalam perbincangan.
“Ada dua konteks yang mana kuarters ini dibina di kawasan permintaan tinggi. Namun ada juga yang dibina di kawasan tiada permintaan khususnya apabila kos rumah di luar sana lebih murah daripada tinggal di kuarters.
“Faktor kedua adalah ada kuarters yang dibina di lokasi yang tidak sesuai. Ini isu legasi yang telah lama berlarutan dan kami masih mencari jalan untuk selesaikan perkara ini,” ulasnya. – MalaysiaGazette