Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas merekodkan aliran keluar asing bersih sejak enam minggu lalu, Bursa Malaysia menyaksikan aliran masuk asing bersih sebanyak RM191.3 juta pada minggu lepas.

Pelabur asing adalah pembeli bersih untuk setiap hari sepanjang minggu lalu.

Aliran masuk asing bersih tertinggi ialah pada hari Isnin sebanyak RM81.7 juta, diikuti Jumaat pada RM72.8 juta dan Khamis RM21.6 juta, menurut MIDF Research.

Pelabur institusi tempatan terus menjadi penjual bersih untuk minggu kedua berturut-turut selepas menjual ekuiti sebanyak RM87.0 juta minggu lepas.

Mereka memulakan minggu lalu dengan jualan bersih berjumlah RM60.2 juta pada hari Isnin dan RM19.3 juta pada hari Selasa.

Pelabur institusi ini kemudian membeli sebanyak RM5.6 juta pada hari Rabu dan RM0.8 juta pada Khamis, sebelum beralih kepada penjual bersih sekali lagi pada hari Jumaat selepas menjual RM14.0 juta.

Sementara itu, pelabur runcit pula menamatkan rentetan pembelian bersih minggu lepas selepas menjual ekuiti sebanyak RM104.2 juta.

Mereka menjual bersih setiap hari minggu lepas kecuali pada hari Selasa dengan belian RM4.2 juta.

Hari Jumaat pula menyaksikan aliran keluar paling ketara sebanyak RM58.8 juta daripada pelabur runcit.

Dari segi sektor, tiga sektor teratas yang mencatat aliran masuk bersih tertinggi daripada dana asing ialah perkhidmatan kewangan, teknologi dan utiliti, masing-masing sebanyak RM141.9 juta, RM39.2 juta dan RM37.5 juta.

Hanya dua sektor menyaksikan aliran keluar bersih asing iaitu produk dan perkhidmatan perindustrian masing-masing RM145.6 juta dan pengangkutan RM2.5 juta.

Sehingga kini, dana antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 18 daripada 29 minggu tahun ini dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM6.11 bilion.

Institusi tempatan adalah penjual bersih selama 22 daripada 29 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.89 bilion.

Pelabur runcit pula membeli 19 daripada 29 minggu tahun ini dengan nilai bersih RM1.78 bilion.

Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua kelas pelabur.

Pelabur runcit menyaksikan pertumbuhan dalam ADTV sebanyak +40.8%, manakala pelabur institusi dan asing menyaksikan pertumbuhan +47.0% dan +42.4%. – MalaysiaGazette