KUANTAN – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah berkenan mencemar duli ke Majlis Penamaan Kem Al-Sultan Abdullah, Markas Angkatan Bersama (MK AB) di sini hari ini.
Keberangkatan Seri Paduka diiringi Pemangku Sultan Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Turut hadir mengiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang.
Baginda menerima tabik hormat Diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota yang diketuai oleh Mejar Mohd Noorazmin Abd Rahim.
Seri Paduka juga telah dipersembahkan dengan gimik acara pelancaran melibatkan gabungan aset dan aksi penerjunan anggota khas dari perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut kenyataan, baginda juga telah berkenan menandatangani plat penamaan kompleks Markas Angkatan Bersama sebagai Kem Al-Sultan Abdullah.
Pada majlis tersebut Seri Paduka turut dipersembahkan taklimat mengenai peranan serta fungsi MK AB bertempat di Pusat Operasi Bersama (POB).
Al-Sultan Abdullah berkesempatan berinteraksi secara sidang video dengan pegawai dan anggota ATM yang sedang melaksanakan tugas operasi PASIR di Sabah serta yang bertugas di misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Kem Al-Sultan Abdullah dinamakan sempena dengan nama Seri Paduka itui menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota pelbagai peringkat.
Pembinaan kem telah dirancang sejak tahun 2007 dan pemilihan lokasi di Sungai Panching di sini dengan kawasan seluas 97.769 ekar dilihat bersesuaian kerana kedudukan kem dan pangkalan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara yang sedia ada di Kuantan.
Ia diyakini akan secara langsung dapat menyokong pengoperasian MK AB.
Projek pembinaan Kem Al-Sultan Abdullah telah siap pada 25 April 2019 dan diserahkan kepada MK AB pada 11 Jun 2019.
Manakala majlis pengoperasian kem ini telah dilaksanakan pada 1 Julai 2019. – MalaysiaGazette