kejadian yang tidak disengajakan oleh pengadil yang berlaku ketika aksi suku akhir Piala FA 2022 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu,

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merumuskan bahawa pengadil, Suhaizi Shukri tiada sebarang niat menyepak pemain Selangor FC, Fazly Mazlan selepas membuat penelitian dan siasatan.

Insiden yang berlaku ketika aksi suku akhir Piala FA antara Sabah dan Selangor di Stadium Likas, Sabtu itu hanyalah tindak balas spontan daripada pengadil berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pengadil berkenaan sudah memohon maaf kepada FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Jawatankuasa Pengadil FAM dan juga peminat bola sepak tanah air atas kejadian yang tidak disengajakan itu.

“Pada minit ke-45, pemain dari Selangor FC iaitu Fazly Mazlan dilayangkan kad kuning kerana tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dengan kesalahan mengganggu atau menggagalkan serangan yang baik pihak lawan iaitu Sabah FC.

“Ini membuatkan pengadil berkenaan tidak dapat menahan kesakitannya, lantas secara spontan mengangkat kaki yang kebetulan ditujukan ke arah kaki pemain Selangor FC itu.

Penjelasan Mohd Saifuddin itu merujuk kepada keterangan yang dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.

Mohd. Saifuddin turut memaklumkan pengadil berkenaan menyatakan tiada sebarang sentuhan walaupun laporan dari segi foto dan video yang tular diambil dari sudutĀ  memberi gambaran seolah-olah dia menyepak pemain terbabit.

“Pengadil perlawanan juga menegaskan beliau tidak mengenakan sebarang hukuman lanjut, sebagai contoh memberi kad kuning kedua kepada pemain berkenaan kerana memijak kaki pengadil kerana menganggap tindakan pemain itu tidak disengajakan.

“Pada saat dan ketika itu, pengadil perlawanan beranggapan kad kuning yang dilayangkan disebabkan kesalahan asal sudah memadai,” katanya.

Selain itu, Mohd Saifuddin menjelaskan Suhaizi, 43, adalah pengadil yang cukup berpengalaman dengan bergelar Pengadil FIFA sejak tahun 2011.

Sebelum ini, beliau tidak pernah dikenakan sebarang tindakan disiplin atau melakukan kesilapan besar dalam mengendalikan perlawanan sama ada di peringkat domestik atau di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, katanya, Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM tetap memberikan amaran keras kepada Suhaizi supaya tidak mengulangi sebarang tindakan sedemikian.

“Beliau (Suhaizi) mengambil iktibar atas perkara ini dan berjanji supaya lebih berhati-hati terhadap sebarang kejadian tidak diingini.

“Tapi secara keseluruhan, beliau mengendalikan perlawanan Sabah FC dan Selangor FC dengan cukup baik dan kita tidak terima sebarang aduan atau bantahan daripada kedua-dua pasukan mengenai prestasi pengadil berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette