Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika bergambar bersama peserta Usahawan Wilayah Pahang pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan Peserta (AKUP) Felcra Berhad di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyalurkan RM10 juta kepada FELCRA Berhad bagi meningkatkan usahawan luar bandar dalam kalangan pesertanya.

Ia juga bagi memastikan mereka tidak bergantung kepada keuntungan hasil komoditi.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu merupakan sebahagian dalam usaha Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menjayakan lima objektif utama kementerian.

“Kita yakin FELCRA mampu menggalas tanggungjawab ini iaitu pelaksanaan lima aktiviti utama merangkumi jalinan komuniti, kelestarian industri kampung, pelengkapan kampung, agro-pertanian dan pembangunan hasil baru,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Anugerah Kecemerlangan Usahawan Peserta (AKUP) di sini malam tadi.

Jelas Mahdzir, inisiatif tersebut bagi membudayakan keusahawanan sebagai kerjaya dalam komuniti peserta sekali gus merangsang ekonomi setempat dalam memenuhi keperluan sektor kritikal negara.

“Aktiviti keusahawanan ini dapat memenuhi permintaan sektor kritikal seperti industri gedung makanan negara khususnya bidang penternakan dan pertanian,” ujarnya.

Tambahnya, peruntukan RM10 juta itu tidak semestinya disalurkan secara tunai kepada peserta sebaliknya mengikut keperluan usahawan tersebut bagi mengembangkan perniagaannya.

“RM10 juta ini kita salur kepada inovasi dan kreativiti kepada usahawan peringkat yang tinggi. Jadi kita cuba kembangkan inovasi dan kreatif itu mengikut keperluan mereka dan tidaklah semestinya kita beri peruntukan dalam bentuk pemberian tunai,” ulasnya.

Sehubungan itu, Mahdzir berharap komuniti FELCRA dapat mempelbagaikan sumber pendapatan khususnya menjadikan usahawan sebagai kerjaya utama yang dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti yang lebih besar – MalaysiaGazette