Pasangan suami isteri dibawa anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan secara bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang di bawah jagaan mereka sehingga mendatangkan kecederaan di Mahkamah Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2O22.

BANGI – Pasangan suami isteri yang tular menganiaya seorang kanak-kanak perempuan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-kedua mereka mengaku bersalah selepas selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah.

Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas mangsa seorang kanak-kanak sehingga mendatangkan kecederaan fizikal.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua mereka boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pasangan suami isteri dibawa anggota polis untuk didakwa atas pertuduhan secara bersama-sama melakukan penganiayaan ke atas seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang di bawah jagaan mereka sehingga mendatangkan kecederaan di Mahkamah Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2O22.

Tertuduh wanita merupakan pengusaha produk kosmetik dan suaminya warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi kira-kira pukul 11 pagi.

Prosiding ditangguhkan sementara bagi menjatuhkan hukuman dan fakta kes.

Sebelum ini tular di media sosial, seorang kanak-kanak yang diserahkan oleh ibu bapanya warga Indonesia di bawah jagaan sepasang suami isteri, didera.

Terdahulu media melaporkan mangsa yang berusia empat tahun dikatakan dianiaya menggunakan penyidai, kayu penyapu serta pemetik api.

Kejadian berlaku pada 18 Julai lalu di Eco Majestic, Beranang yang mana pengadu seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun membuat laporan polis mengenai anak angkat kepada pasangan suami isteri itu telah didera.- MalaysiaGazette