Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di semua kawasan hari ini berpunca daripada kerosakan di salah satu peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

Bagaimanapun, Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan sepenuhnya bekalan elektrik kepada semua kawasan yang mengalami gangguan elektrik pada jam 3.02 petang.

”Kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB,” kata syarikat utiliti itu.

Menurut TNB, kerosakan di PMU Yong Peng North di Yong Peng itu telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10% daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia.

”Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” tambah TNB.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai gangguan bekalan, pengguna boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454. – MalaysiaGazette

Gangguan elektrik besar-besaran, TNB sedang kenal pasti punca