Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique ketika berbual semasa menghadiri ke Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sejumlah 506 kes pinjaman wang tidak berlesen ah long telah direkodkan sejak Januari hingga Jun tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, jumlah kes itu melibatkan kerugian lebih RM4 juta.

“Berdasarkan statistik negeri Johor mencatatkan kes tertinggi dengan 86 kes, pelbagai usaha telah dijalankan oleh polis dalam mengekang sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen termasuk menguatkuasakan undang-udang pengoperasian, tangkapan dan menjalankan pendakwaan keatas mereka yang terlibat dalam penipuan,” katanya menjawab pertanyaan lisan pertama Dewan Rakyat hari ini.

Ismail menjawab pertanyaan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) yang ingin tahu statistik mengikut negeri bagi kes pinjaman wang tidak berlesen seperti ah long, scammer dan judi online di Malaysia.

Mengulas lanjut, seramai 744 tangkapan telah dibuat dan sejumlah 241 pertuduhan telah dilaksanakan.

Menjawab soalan sama, Ismail berkata, sebanyak  10,468 kertas siasatan telah dibuka melibatkan aktiviti scammer di negara ini.

Ia melibatkan kerugian berjumlah RM362,614,896.

“Sebanyak 5,169 pertuduhan telahpun dilaksanakan bagi aktiviti scammer bagi tempoh sama mengikut statistik yang berikan. Kontijen Kuala Lumpur menunjukkan kes yang tertinggi berbanding kes lain sebanyak 1,338 kes,” katanya lagi.

Bagi jenayah judi dalam talian pula, sejumlah 3,950 serbuan dibuat oleh polis dengan tangkapan seramai 4,754 orang.

Hasil serbuan tersebut polis telah merampas sejumlah RM762,855.

“Mengiut statistik negeri Sarawak mencatatkan jumlah serbuan tertinggi dengan 697 dengan tangkapan 718 orang. – MalaysiaGazette