KUANTAN – Dua individu meninggal dunia dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah kereta dengan treler di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Timur awal pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kedua-dua mangsa, Tan Li Wee, 39, dan Nur Susilawati Che Deraman, 35, disahkan maut kerana tersepit dalam kenderaan Perodua Myvi dinaiki mereka.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.47 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikejarkan ke lokasi.
Menurut Zulfadli, bomba terpaksa menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette