KUALA LUMPUR – Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung Himpunan #Turun kenaikan harga barang yang diadakan di hadapan sebuah pusat beli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini pada 23 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, setakat hari ini, seramai 27 orang peserta terdiri pemimpin politik, mahasiswa dan aktivis yang dikenal pasti menyertai himpunan itu telah dipanggil dan dirakam keterangan.
“Pada hari ini dua lagi individu dirakam keterangan sekaligus menyaksikan keseluruhan seramai 27 orang telah diambil keterangan oleh pegawai penyiasat bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan berkaitan kes ini telah pun dilengkapkan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Kontinjen Kuala Lumpur di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Noor Dellhan, kertas siasatan yang dilengkapkan akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut.
“Kita akan hantar kertas siasatan yang dilengkapkan itu kepada TPR esok.
“Kita akan menunggu arahan selanjutnya (TPR) sama ada perlu merakam keterangan lagi atau sebaliknya (pendakwaan mahkamah),” tegasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: 30 individu termasuk penganjur perhimpunan #Turun dipanggil beri keterangan
Jangan sertai Himpunan #Turun di SOGO esok – Polis
Terdahulu, antara individu yang dipanggil adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura; ADUN Puteri Wangsa Amira Aisya, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid, Timbalan Ketua Pemuda Amanah Malaysia, Abbas Salimmi Che Adzmi.
Kesemua mereka disiasat polis di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun tanpa kebanaran.
Terdahulu, Noor Dellhan juga berkata, seramai 30 individu telah dikenal pasti menyertai himpunan itu akan dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Katanya, penganjur himpunan tersebut tidak memberikan sebarang notis pemberitahuan kepada polis dan tidak membuat permohonan untuk perarakan tersebut yang merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang yang diperuntukkan.
Dalam himpunan yang diadakan bermula 2.30 petang itu, mereka berhimpun dengan membawa plakad yang tertera tulisan potong gaji menteri, turunkan harga barang yang merupakan antara lima tuntutan utama mereka terhadap kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang.
Malah dalam himpunan sama mereka mengugut kerajaan akan mengadakan himpunan besar-besaran sekiranya soal kenaikan kos barang tidak ditangani segera. – MalaysiaGazette