Poster tular mengajak orang ramai turun berhimpun esok di ibu negara diberi amaran oleh polis agak mengelak menyertainya.

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya warga kota dinasihati tidak menyertai Himpunan # Turun yang dirancang oleh sekumpulan individu di hadapan pusat beli belah terkemuka di Jalan Tuanku Abdul Rahman petang esok.

Poster yang mengajak orang ramai turun ke himpunan itu tular di media sosial dan WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya mengeluarkan nasihat itu kerana himpunan itu tidak mendapat permit.

“Pihak polis menerima maklumat berkaitan perkara (himpunan di Sogo KL) ini.

“Namun siasatan mendapati tiada sebarang notis pemakluman diberikan oleh pihak penganjur kepada polis selaku pihak keselamatan yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman di ibu kota.

“Mereka tak berikan apa-apa notis maklumkan mengenai himpunan ajak orang turun beramai-ramai yang merupakan satu kesalahan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah beliau, orang ramai khsusunya warga kota dinasihatkan supaya tidak menyertai himpunan itu seperti yang didesak oleh penganjur tersebut.

“Saya berharap dan menasihati awam agar tolong jangan turun dan menyertai himpunan itu esok.

“Jika polis mengesan mana-mana pihak yang berkumpul dalam himpunan #Turun yang tidak mendapati kebenaran polis itu, tindakan tegas berlunaskan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang terlibat.

“Polis tidak akan berkompromi dalam soal menjamin ketenteraman awam agar terus terlindung dan terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

“Saya harap masyarakat adalah bersikap matang dan bijaksana dalam menentukan perkara yang salah disisi undang-undang serta boleh memberi kerjasama kepada polis dalam menjaga ketenteraman awam bersama-sama,” tegasnya.- MalaysiaGazette