Perbuatan keji seorang lelaki yang merogol seorang pelajar tingkatan satu selepas melarikannya dari Klang bulan lalu berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

MELAKA – Perbuatan keji seorang lelaki yang merogol seorang pelajar tingkatan satu selepas melarikannya dari Klang bulan lalu berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Mohd. Sabri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Azali Abu, 40, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja lapan pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut empat pertuduhan, bapa dua anak itu didapati telah merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun tanpa kerelaannya di sebuah rumah di Bachang, dalam daerah Melaka Tengah pada 16 dan 17 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Selain itu, tertuduh juga dihadapkan dengan empat pertuduhan atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan lokasi sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Mengikut fakta kes, tindakan tertuduh disedari pada 16 Jun lalu apabila ibu mangsa dihubungi pemandu van sekolah anaknya memaklumkan remaja tersebut tidak ditemui selepas tamat waktu persekolahan.

Wanita itu kemudiannya menghubungi rakan anaknya itu sebelum diberitahu mangsa dilihat menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki.

Dua hari selepas itu, pada 18 Jun lalu, mangsa telah pulang ke rumah dan memberitahu dirinya telah dirogol tertuduh sebanyak empat kali antara jam 10 malam pada 16 Jun sehingga jam 10 malam keesokkan harinya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan kerana telah menyesal dan insaf.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim bagaimanpun memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira perbuatannya melarikan seorang pelajar sekolah dari Klang, Selangor dan bawa ke tempat asing di Melaka.

Tertuduh juga, katanya, telah berusia 40 tahun manakala mangsa hanyalah seorang pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun yang sepatutnya mendapat bimbingan golongan dewasa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara enam tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal.

Beliau memerintahkan hukuman rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan itu berjalan secara berasingan manakala bagi kesalahan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 berjalan serentak dari tarikh tarikh tangkapan 25 Jun lalu. – MalaysiaGazette