ALOR GAJAH – Seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta yang gagal memotong di Jalan Dalong, Jelatang-Gadek di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, mangsa Muhammad Shah Fiy Shahrin, 25, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss ketika itu sedang dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Gadek.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati nahas dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah Gadek ke Alor Gajah cuba memotong sebuah kereta.
“Bagaimanapun, kereta tersebut akhirnya telah bertembung dengan motosikal ditunggangi mangsa dari arah bertentangan menyebabkan mangsa tercampak ke laluan sebelah kiri.
“Kereta terbabit kemudian terbabas ke kanan jalan dan telah melanggar pokok sebelum terbakar menyebabkan pemandunya patah tangan kiri dan penumpang mengalami luka-luka pada anggota badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, mayat dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Angkatan Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiGazette