Bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah Malaysian Intellect Development Foundation (MIDF) didenda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memalsukan baucar bayaran berhubung perbelanjaan dana Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) bagi program Tamil Schools Post COVID-19 Assistance (TAS-COVID), Julai tahun lepas.

Hakim Suzana Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap S. S. Vijaya Kumar, 47, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh yang kini bekerja sebagai jururunding bebas didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen, iaitu baucar bayaran MIDF berjumlah RM75,000 bertarikh 24 Nov 2020.

Baucar bayaran tersebut dinamakan atas sebuah syarikat bagi pembayaran pensanitasi tangan yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut adalah palsu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Mitra, Kementerian Perpaduan Negara, Lebuh Perdana Timur A, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 2 Julai 2021 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya A. Kalaivani memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira faktor kepentingan awam, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius selain jumlah kerugian yang dialami sebanyak RM75,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman denda minimum dan tidak dipenjarakan atas alasan dia kesal atas perbuatannya dan telah memberikan kerjasama yang baik kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang tempoh remannya selama enam hari.

“Tiada transaksi kewangan daripada program Mitra ini masuk ke akaun saya dan saya telah meletakkan semua jawatan di MIDF. Sekarang saya bekerja sebagai jururunding bebas dan pendapatan saya tidak menentu. Mohon hukuman ringan,” katanya.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah menyediakan dokumen sokongan palsu iaitu baucar bayaran MIDF dalam laporan akhir kepada Mitra bagi perbelanjaan program TAS-COVID dan siasatan mendapati syarikat yang dinamakan dalam baucar bayaran tersebut tidak membuat pembekalan pensanitasi tangan bagi program itu.

— BERNAMA