MELAKA – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh hari ini atas tuduhan menendang muka isterinya sehingga cedera pada awal bulan ini.
Tertuduh, Danial Dallas Abdullah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabiha Mohd. Noor.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Norazlinda Ali, 41, dengan cara menendang mukanya.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 8 malam di sebuah rumah di Taman Kesidang, dalam daerah Melaka Tengah pada 4 Julai lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Difahamkan tertuduh yang sudah 12 tahun mendirikan rumah tangga bertindak demikian selepas mendakwa isterinya yang bekerja di sebuah kedai makan curang dengan lelaki lain.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jaminan rendah dengan alasan memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 sebulan dan perlu menanggung dua orang anak.
Selepas mendengar rayuan kedua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 20 September depan sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette