Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Selepas dua tahun tidak diadakan secara besar-besaran bagi mengawal penularan COVID-19, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 akan diadakan di sini esok dengan penyertaan pelbagai peringkat Keluarga Malaysia.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 dengan tema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ di Dataran Putrajaya itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara tarikan sempena pelancaran itu adalah persembahan lima tarian tradisional yang menterjemahkan kepelbagaian kaum di negara ini dengan diiringi lagu Keluarga Malaysia oleh Pentarama Jabatan Penerangan.

Turut diadakan bersempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 adalah program Berjalan Teguh Bersama iaitu aktiviti berjalan kaki yang antaranya akan disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.

Program Berjalan Teguh Bersama itu akan bermula dari Dataran Putra hingga Istana Kehakiman di sini, dengan dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia akan menyertainya.

Persembahan jalanan termasuk hiburan jalanan, pancaragam dan persembahan tradisional akan menyambut peserta Berjalan Teguh Bersama di setiap check point atau tempat pemeriksaan ditetapkan di sepanjang laluan sejauh 2.7 kilometer itu.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga itu membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia adalah satu daripada inisiatif bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia.

Bagi menyemarakkan semangat patriotisme pula, perdana menteri juga akan melepaskan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022.

Annuar sebelum ini berkata beliau mahu Hari Kebangsaan tahun ini disambut dengan pembaharuan iaitu melibatkan penyertaan di peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dapat dirakyatkan sepenuhnya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata ini penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksana di peringkat nasional, sebaliknya perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti dari pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 2020 diadakan secara sederhana di Dataran Perdana, Perdana Putra di sini dengan kehadiran yang terhad bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pada tahun lepas pula, pelancarannya hanya diadakan secara dalam talian memandangkan negara ketika itu berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19, tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan tiga aktiviti utama akan diadakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Ia merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya itu, Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Melaka.

Di samping itu, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan telah disusun bagi memupuk serta menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Antaranya Pertandingan ILHAM Merdeka TikTok Challenge, Pertandingan KLIK@Merdeka, Pertandingan Bintang Smule, Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka, Program Pengisahan Kenegaraan, Sayembara Sajak Merdeka yang kesemuanya akan bermula pada 30 Julai hingga 16 Sept.

— BERNAMA