syed johan
Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri

KUALA LUMPUR – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat semalam, dilihat mampu membersihkan imej dan persepsi profesion ahli politik di mata rakyat khususnya orang muda.

Pengarah Komunikasi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, ia dapat memulihkan kepercayaan rakyat kepada ahli politik yang sebelum ini bebas melompat parti kerana kepentingan tertentu.

“Ia merupakan komitmen jelas Perdana Menteri dan UMNO dalam reformasi dan memulihkan institusi politik negara berhubung prinsip moral kepartian serta pengkhianatan mandat rakyat dalam kalangan ahli politik yang diperkotak-katikkan di negara ini.

“Sikap tidak bertanggungjawab segelintir ahli politik ini hanya menzahirkan nilai diri mereka yang bagaikan sesumpah dan sedia berubah warna demi kepentingan politik peribadi mereka.

“Ahli politik kita dihantui agenda “scheme of things” oleh pihak tertentu yang menggoda mereka dengan pangkat, jawatan dan wang ringgit, atau mengugut dengan pendakwaan terpilih serta pelbagai tekanan.

“RUU ini dilihat berupaya mencegah ahli politik daripada meletakkan tanda harga diri dan kedudukan tersebut pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen, pada Khamis.

RUU itu membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan seramai 209 ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi ahli Parlimen tidak hadir.

Tambahnya, sokongan 209 ahli Parlimen, termasuk katak politik yang menyokong RUU itu menandakan tindakan mereka yang melompat parti sebelum ini bertentangan dengan prinsip moral dan budaya politik sebenar.

“Semoga politik Malaysia kembali dilihat bersih dan UMNO terus menjadi peneraju reformasi institusi dan sistem pentadbiran negara dan kerajaan pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette