Ahmad Zahid Hamidi Nur Jazlan Ismail Sabri weakest PM
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat melompat parti yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam boleh mengurangkan peluang ‘penzalim’ bermaharajalela menggunakan kuasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dengan lulusnya RUU itu kejadian ahli Parlimen melompat parti seperti yang berlaku kepada Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak akan berulang.

“Akta Anti Lompat Parti akan turut memanfaatkan negara dalam mengurangkan peluang penzalim bermaharajalela menggunakan kuasa.

“Menggunakan kuasa untuk mengugut atau membeli ahli Parlimen sama ada untuk memperkuatkan parti mereka atau melemahkan parti lawan seperti yang pernah UMNO alami,” kata Ahmad Zahid.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, UMNO merupakan mangsa terbesar gejala ‘katak’ apabila sejumlah wakil rakyatnya meloncat ke parti lain sesudah PRU14.

Ahmad Zahid mendakwa, sebahagian ahli Parlimen terbabit keluar UMNO kerana mengejar jawatan.

Bagaimanapun menurutnya, sebahagian lagi keluar daripada parti itu kerana takut ugutan yang dibuat oleh ‘penzalim’.

“Seharusnya juga semua masih ingat ketika itu lawan UMNO yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 kelihatan sangat senang menghalalkan gejala lompat parti.

“Alasan mereka penyertaan ahli Parlimen UMNO kepada gabungan mereka akan memberi kemudahan buat kerajaan mereka menggubal dasar.

“Langit tidak selalu cerah. What you give you get back. Selepas turut berdepan perihal lompat parti barulah mereka juga mendesak untuk akta anti lompat parti,” katanya.

Tambahnya, kejayaan meluluskan RUU Anti Lompat Parti yang memperloleh undi lebih dua pertiga kerana pihak yang mengamalkan lompat parti turut berdepan dengan isu tersebut.

Justeru Ahmad Zahid berharap, kelulusan RUU itu akan menjadi titik permulaan terhadap usaha untuk pembasmian pengkhianatan mandat rakyat.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan ‘lompat parti’ yang terluas luas.

Bacaan kedua rang undang-undang itu telah dibaca, dibentang dan dibahaskan semalam di Dewan Rakyat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast